Indeks Pengeluaran Perindustrian, Malaysia Mac 2018*
Abstract
Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak 3.1 peratus pada bulan Mac 2018 berbanding bulan yang sama
tahun sebelumnya. Peningkatan pada bulan Mac 2018 disokong oleh pertumbuhan dalam indeks Pembuatan (4.1%) dan indeks
Elektrik (4.4%). Manakala indeks Perlombongan mencatatkan pertumbuhan sifar pada Mac 2018 berbanding tempoh yang sama
tahun sebelumnya.
Output sektor Pembuatan mencatatkan peningkatan sebanyak 4.1 peratus pada bulan Mac 2018 selepas mencatatkan
pertumbuhan sebanyak 4.7 peratus pada Februari 2018. Sub-sektor utama yang mencatatkan peningkatan pada bulan Mac 2018
adalah: Produk Peralatan Elektrik dan Elektronik (5.8%), Produk Makanan, Minuman dan Tembakau (6.0%) dan Produk Mineral
Bukan Logam, Logam Asas dan Produk Logam yang Direka (4.5%).
Output sektor Perlombongan mencatatkan pertumbuhan sifar pada Mac 2018 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya
(Februari 2018: -1.6%). Ini disebabkan oleh peningkatan marginal dalam indeks Minyak Mentah (1.1%). Manakala, indeks Gas
Asli menyusut sebanyak 0.9 peratus.
Output sektor Elektrik meningkat sebanyak 4.4 peratus pada bulan Mac 2018 selepas mencatatkan peningkatan sebanyak 2.8
peratus pada bulan Februari 2018.
Siri IPP dari rujukan Januari 2015 dan seterusnya adalah menggunakan tahun asas 2015. Data IPP yang telah diterbitkan sebelum
ini disemak semula berdasarkan tahun asas 2015. Untuk keterangan selanjutnya, sila rujuk nota teknikal yang dilampirkan.