Impak mempraktikkan rancangan perniagaan strategik ke atas prestasi perniagaan PKS di Malaysia dan pengaruh persekitaran luaran dinamik
Date
2014Author
Rosli, Mohd Saad
Abdullah, Haji Abdul Ghani
Shuhymee, Ahmad
Metadata
Show full item recordAbstract
Rancangan perniagaan terbukti telah menjadi senjata utama dalam menjana strategi perniagaan yang kompetitif dalam kalangan firma-firma korporat atau bersaiz besar dan boleh memberi impak ke atas prestasi perniagaan. Namun demikian, perlaksanaan rancangan perniagaan didapati masih terhad dalam kalangan firma-firma Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), terutamanya di negara-negara belum dan sedang membangun di samping berdepan dengan cabaran bersaing dalam persekitaran luaran dinamik yang memerlukan perubahan dan inovasi yang tinggi. Beberapa teori dan kajian empirikal lepas telah membuktikan bahawa hubungan rancangan perniagaan dengan prestasi perniagaan dan pengaruh persekitaran luaran dinamik ke atas hubungan rancangan perniagaan dengan prestasi perniagaan PKS adalah pelbagai dan masih terhad. Rentetan itu, kajian ini memeriksa dan menentukan hubungan dan pengaruh tersebut. Kajian ini menggunakan strategi teknik pensampelan kelompok (cluster sampling) dan kaedah kutipan data melalui pos. Kajian ini melibatkan sampel daripada firma-firma PKS di Malaysia yang terdiri daripada sektor perkilangan/pembuatan dan sektor pertanian. Penemuan kajian mendapati hubungan rancangan perniagaan strategik ke atas prestasi perniagaan PKS di Malaysia adalah signifikan positif. Walau bagaimanapun, penemuan hubungan ini menjadi tidak signifikan apabila PKS beroperasi dalam persekitaran luaran dinamik. Kajian ini mencadangkan supaya PKS terus membudayakan penyediaan dan perlaksanaan rancangan perniagaan kerana terbukti memberikan kesan positif ke atas prestasi perniagaan. Selain itu, PKS juga disarankan supaya menyediakan dan melaksanakan rancangan perniagaan bersesuaian dengan persekitaran luaran.