Komunikasi kesihatan berkenaan COVID-19 melalui akaun Twitter Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Abstract
Media sosial seperti Twitter dapat dijadikan sebagai satu medium yang berkesan dalam
menyampaikan komunikasi kesihatan dan menyebarkan maklumat mengenai pandemik
COVID-19. Kajian lepas menunjukkan bahawa keberkesanan media sosial seperti Twitter
dalam mengubah persepsi masyarakat memerlukan strategi yang jitu iaitu pemilihan corak
topik dan teknik komunikasi yang bersesuaian dengan khalayak sasaran. Namun begitu,
kajian mengenai corak topik, jenis komunikasi visual dan teknik komunikasi dalam
melakukan komunikasi kesihatan untuk menghadapi pandemik COVID-19 masih belum
banyak dikaji. Selain itu, terdapat juga beberapa kumpulan dalam masyarakat yang
biasanya menghadapi masalah untuk memahami maklumat mengenai risiko kesihatan.
Namun, dengan penggunaan gambar, video, grafik interaktif dan 3D, bahan-bahan ini
dapat meningkatkan pemahaman khalayak terhadap sesuatu isu. Maka, makalah ini
merupakan kertas konsep yang akan melihat kepada strategi komunikasi yang digunakan
oleh individu yang menjawat jawatan selaku Menteri Kanan (Keselamatan) Negara dalam
mengkomunikasikan maklumat berkaitan COVID-19 dan peranannya dalam kalangan
masyarakat bagi memperolehi maklumat yang sahih. Pemimpin dianggap mempunyai
peranan yang penting dalam mempengaruhi persepsi dan keputusan yang berkaitan
kesihatan. Oleh itu, kajian yang melibatkan cara pemimpin melaksanakan komunikasi
kesihatan perlulah diperbanyakkan agar dapat meningkatkan kredibiliti sesebuah
kerajaan serta kebolehpercayaan masyarakat mengenai maklumat yang disampaikan
kepada mereka.