dc.description.abstract | Kemiskinan masih menjadi masalah utama dalam proses pembangunan. Bagi menangani masalah ini, berbagai-bagai rancangan pembangunan telah dijalankan namun pada keseluruhannya, rancangan berkenaan didapati kurang berjaya dan kurang berkesan (Malik et al., 1996). Oleh itu, pihak kerajaan telah melancarkan pelbagai program untuk membangunkan pelbagai sektor bagi meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti yang bertujuan untuk memberi peningkatan pendapatan dalam menghapuskan kadar kemiskinan tegar. Kajian ini berusaha melihat masalah kemiskinan dalam kalangan keluarga miskin dan miskin tegar, kajian kes di Teluk Ketapang, Kuala Terengganu. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti keperluan keluarga miskin dan miskin tegar untuk penentuan bantuan program pembangunan keluarga. Seramai 68 orang dipilih untuk ditemu bual di Teluk Ketapang, Kuala Terengganu. Kajian ini merupakan kajian deskriptif dengan menggunakan soal selidik sebagai instrumen kajian. Responden kajian ini diambil secara rawak di sekitar kawasan Teluk Ketapang. Data dianalisis dengan menggunakan perisian ”Statistical Packages for the Social Science” (SPSS) versi 18.00 dan diterangkan dalam bentuk peratusan, dan analisis crosstab. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti profail dan maklumat ekonomi warga miskin dan miskin tegar Teluk Ketapang, menganalisis tahap kepuasan bagi situasi kehidupan dan menilai keperluan warga miskin Teluk Ketapang, Kuala Terengganu. Kajian ini menumpukan kepada aspek latar belakang responden dan keperluan yang diperlukan oleh keluarga tersebut. Antara keperluan yang terdapat dalam kajian ini adalah pendidikan, kemahiran, keagamaan, sosial, makanan dan pakaian, kesihatan, perumahan, peralatan rumah dan pengangkutan. Dapatan menunjukkan senarai faktor keperluan yang harus diberi perhatian yang serius ialah pendapatan, pendidikan, kerohanian/keagamaan, kegiatan sosial, pemakaian/pakaian/kesihatan, perumahan, pengangkutan/perhubungan, keperluan khusus untuk OKU dan keperluan-keperluan lain daripada kerajaan. Keluarga miskin dan miskin tegar harus bersedia dan sanggup berusaha memajukan diri sendiri agar kesejahteraan hidup mereka bertambah baik di samping pihak kerajaan memainkan peranan yang penting untuk memajukan penduduk yang berada dalam kemiskinan. Oleh itu, penambahbaikan program yang lebih terancang dan terkawal perlu dilaksanakan supaya masalah kemiskinan dapat diatasi. | en_US |