Kefahaman Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) tentang dialog antara agama
Abstract
Kewujudan masyarakat pluralistik dalam aspek agama, bangsa dan budaya memerlukan suatu wadah bagi membina persefahaman dan sikap toleransi dalam kalangan masyarakat. Selaras dengan suasana masyarakat beragama di Malaysia, dialog antara agama dilihat sebagai wadah yang efektif untuk dibudayakan dalam segenap lapisan masyarakat. Dalam konteks semasa, pengamalan dialog antara agama lazimnya diterajui oleh NGO Islam, antaranya di Pulang Pinang adalah IPSI. Artikel ini membincangkan tahap kefahaman IPSI tentang dialog antara agama. Reka bentuk kajian adalah bersifat kualitatif dan kuantitatif dengan menggunakan kajian kepustakaan dan tinjauan sebagai metode utama kajian. Seramai 60 orang dalam kalangan ahli IPSI telah terlibat sebagai responden. Dapatan menunjukkan tahap kefahaman responden dalam dialog antara agama adalah baik (M = 4.13). Dasar kefahaman IPSI adalah melihat dialog antara agama sebagai suatu metode dalam dakwah dengan bertujuan untuk mengajak penganut bukan Islam menerima Islam sebagai anutan. Selain itu, IPSI juga memahami dialog sebagai metode untuk membina persefahaman dalam kalangan masyarakat beragama.